Thursday 24 May 2012

Perkembangan hari ini 24 Mei 2012

As salam dan salam sejahtera buat semua

               Hari ini, manuskrip penuh Tentang Dia telah diserahkan kepada Penerbit X dalam bentuk hardcopy memandangkan penerbit yang terdahulu tidak memberikan sebarang respon.
               Saya amat berharap agar kali ini, sidang editornya dapat meluangkan masa mereka untuk membelek dan menilai karya Hingga Dia.
               Saya mohon doa dari saudara sekalian agar urusan ini dipermudahkanNya. Amin Ya ALLAH.

Salam sayang
Orked Putih

Monday 21 May 2012

Kronologi Hingga Dia

As Salam

      Seperti yang saya ceritakan sebelum ini, novel HD ini terilham selepas saya menonton filem Ombak Rindu sekitar lewat Disember 2011. Pada tanggal 27 Disember 2011, pena saya mula mencoret kisah tentang Nia, seorang anak yatim piatu ketika usianya belumpun mencecah remaja.
        Nia merupakan seorang gadis kampung yang manis dipandang dan bijak pula orangnya. Sifatnya yang merendah diri dan mudah didekati menyebabkan dia disenangi oleh rakan-rakan mahupun golongan yang lebih berusia darinya.  Sungguhpun mempunyai raut yang menarik, namun kerana sifatnya yang seolah tidak menyedari kecantikan yang dimiliki menambahkan lagi daya tarikan kepada setiap yang mengenali dirinya.
        Sungguhpun hidup dalam keadaan amat sederhana bersama-sama nenek, makcik dan sepupunya namun dia tidak pernah patah semangat. Di dalam jiwanya tersuntik semangat untuk berjaya dan memberi kebahagiaan kepada keluarga.
        Kehadiran Adam dalam hidupnya membuka lembaran baru yang sungguh berbeza daripada apa yang dijangka dalam alam impiannya. Lelaki yang disangka menjadi tempat bernaung dan berkongsi kasih, rupanya sudah mempunyai kekasih lain.
        Kisah demi kisah terungkai dalam novel percintaan ini. Sungguhpun ianya umpama certita percintaan yang cliche, namun setiap bab telah digarap dengan penuh emosi. Saya berharap, setiap yang membaca cerita ini akan terhibur dan berpuas hati dengan tulisan saya.
        Kebanyakan babak dalam cerita ini telah saya olah agar ianya realistik dan tidak keterlaluan. Kebanyakannya adalah dari pengalaman saya mahupun pemerhatian ke atas apa yang berlaku di sekeliling saya.
        Saya mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk menyiapkan novel ini. Pada hari ini, 22 Mei 2012, sudah tiga minggu saya serahkan manuskrip sebanyak 20 babak pertama kepada salah satu syarikat penerbit buku di Malaysia tapi nampaknya masih belum membuahkan jawapan. Jika dalam tempoh seminggu ini masih lagi tiada jawapan, nampaknya saya terpaksa mencari penerbit lain.
         Saya berdoa semoga novel ini akan diterbitkan. Amin!


       



Wednesday 16 May 2012

Novel Pertama Saya

Assalamualaikum.

                  Nantikan kehadiran novel pertama saya di pasaran, HD. Novel ini terilham setelah saya menonton filem Ombak Rindu dan membaca novel asal filem tersebut. Saya terpanggil untuk mencabar diri bagi menghasilkan sebuah novel cinta yang menyentuh hati.
                 Harapan saya terhadap novel ini adalah agar ianya boleh diterima ramai. Novel ini juga bakal menentukan hala tuju saya dalam bidang penulisan kreatif.
                 Saya berharap agar anda yang menggemari penulisan saya, sudilah kiranya untuk memberikan komen dan kritik mahupun kata-kata semangat bagi membolehkan saya mengukur diri dalam bidang penulisan ini.
             Semoga novel ini menjadi buah tangan yang istimewa untuk anda semua!

Salam sayang
Orked Putih