As Salam
Seperti yang saya ceritakan sebelum ini, novel HD ini terilham selepas saya menonton filem Ombak Rindu sekitar lewat Disember 2011. Pada tanggal 27 Disember 2011, pena saya mula mencoret kisah tentang Nia, seorang anak yatim piatu ketika usianya belumpun mencecah remaja.
Nia merupakan seorang gadis kampung yang manis dipandang dan bijak pula orangnya. Sifatnya yang merendah diri dan mudah didekati menyebabkan dia disenangi oleh rakan-rakan mahupun golongan yang lebih berusia darinya. Sungguhpun mempunyai raut yang menarik, namun kerana sifatnya yang seolah tidak menyedari kecantikan yang dimiliki menambahkan lagi daya tarikan kepada setiap yang mengenali dirinya.
Sungguhpun hidup dalam keadaan amat sederhana bersama-sama nenek, makcik dan sepupunya namun dia tidak pernah patah semangat. Di dalam jiwanya tersuntik semangat untuk berjaya dan memberi kebahagiaan kepada keluarga.
Kehadiran Adam dalam hidupnya membuka lembaran baru yang sungguh berbeza daripada apa yang dijangka dalam alam impiannya. Lelaki yang disangka menjadi tempat bernaung dan berkongsi kasih, rupanya sudah mempunyai kekasih lain.
Kisah demi kisah terungkai dalam novel percintaan ini. Sungguhpun ianya umpama certita percintaan yang cliche, namun setiap bab telah digarap dengan penuh emosi. Saya berharap, setiap yang membaca cerita ini akan terhibur dan berpuas hati dengan tulisan saya.
Kebanyakan babak dalam cerita ini telah saya olah agar ianya realistik dan tidak keterlaluan. Kebanyakannya adalah dari pengalaman saya mahupun pemerhatian ke atas apa yang berlaku di sekeliling saya.
Saya mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk menyiapkan novel ini. Pada hari ini, 22 Mei 2012, sudah tiga minggu saya serahkan manuskrip sebanyak 20 babak pertama kepada salah satu syarikat penerbit buku di Malaysia tapi nampaknya masih belum membuahkan jawapan. Jika dalam tempoh seminggu ini masih lagi tiada jawapan, nampaknya saya terpaksa mencari penerbit lain.
Saya berdoa semoga novel ini akan diterbitkan. Amin!
Assalamualaikum....
ReplyDeleteSaya sudah mencari novel ini dikedai2 buku tetapi tiada. Benar2 ingin memili novel ini.